Friday, May 8, 2009

Catatan 100 hari Jamlus Marcosa #3

Pagi itu keluarga terdekat Jamlus Marcosa datang melawat dengan harapan Jamlus akan sembuh secepat mungkin. Ahmad Marcosa, datang mendapatkan adiknya itu. Matanya merah menahan sebak melihat keadaan Jamlus. Segala egoisnya telah cair bagaikan ketulan ais yang dibakar matahari.

Tinggal 36 jam lagi sebelum tarikh Jamlus Marcosa bertolak ke Calcutta. Kelihatan cecair mengalir di celah mata Jamlus. Perlahan-lahan kelopak mata Jamlus terbuka. Ahmad Marcosa tersenyum dalam tangisan itu. Mungkin ada peluang lagi untuk dia menebus segala kesalahan yang dilakukan terhadap adiknya dahulu. Tapi mungkin juga Ahmad Marcosa sudah terlambat. Badan Jamlus dipeluk erat oleh abangnya itu. Dahinya dicium sebagai tanda rindu seorang abang terhadap adiknya. Ingin juga Jamlus Marcosa memeluk abangnya tetapi badannya tak berdaya untuk bergerak.

Masa terus berlalu. Hari ini adalah hari sepatutunya Jamlus bertolak ke Calcutta. Mata Jamlus kelihatan sayu. Sedikit pun tidak kelihatan sinar cahaya di mata hitam Jamlus itu. Kalau dilihat dari sisi, kelihatan hidung Jamlus seakan-akan jatuh tetapi tidaklah begitu ketara. Hujung telinganya pula kelihatan seakan-akan layu masuk ke dalam bahagian telinganya.

Ahmad begitu sedih melihat keadaan adiknya itu. Dia tahu, itu adalah sebahagian tanda-tanda sebelum menemui ajal. Kadang-kadang Jamlus Marcosa seakan-akan tersenyum namun kadang-kadang wajahnya seperti menahan sakit. Jamlus merasakan sejuk di bahagian pusatnya. Perlahan-lahan rasa sejuk itu turun ke pinggang lalu naik ke bahagian halkumnya.

Ahmad Marcosa menunudukkan kepalanya sedikit ke arah Jamlus. Muncungnya diacukan ke arah telinga adiknya itu. Telapak tangannya digosok-gosokkan di dahi Jamlus. Lalu, Ahmad membisikan kalimah Lailahaillallah…..

Mengucap Jamlus. Lailahaillallah…… Laillahaillallah…. Muahammadarasulullah...Mengucap Jamlus.. Laa…ilahaillallah…Maafkan abang...Maafkan abang Jamlus…Bukan niat abang nak buat kau begini…Mengucap Jamlus...ikut abang...Laaa....ila..haillallah......

Ahmad menahan sebak melihat bibir adiknya seakan-akan ingin berkata sesuatu. Adiknya kini dalam keadaan nazak. Bibir Jamlus Marcosa kelihatan seolah-olah tersenyum bagaikan sedang melihat sesuatu pemandangan yang indah dihadapan mata halusnya itu. Mungkin juga kerana dia lega. Lega kerana akhirnya dia dapat bertemu dengan abang kandungnya sendiri setelah sekian lama menahan kerinduannya.

Laaaaa……ila…..haillallah…………Jamlus Marcosa menghembuskan nafas terakhirnya. Tiada apa yang terungkap dari mulut Ahamad Marcosa. Lalu tangannya disapukan perlahan-lahan ke mata adiknya itu.

Petang itu Jamlus Marcosa pergi buat selama-lamanya. Pada petang itulah juga dia sepatutnya bertolak ke Calcutta untuk misi keamanan. Biarpun disaat Izrail datang menjemput, niat Jamlus Marcosa untuk bertemu dengan abang kandungnya ahirnya kesampaian...Mungkin pertemuan yang singkat itu juga memberi suatu pengajaran yang besar kepada Ahmad Marcosa..Al-Fatihah...